User
Welcome, Guest. Please login or register.
September 10, 2010, 01:09:14 PM

Login with username, password and session length

Search
News
Sila daftar untuk memudahkan urusan berkaitan
laman.
UmmuHani.com Menu
RSS Laman Ini
0 Members and 1 Guest are viewing this topic. « previous next »
Pages: [1] Go Down Print
Author Topic: kak ummu....tolonglah terbitkan...  (Read 1241 times)
shaliza shaary
Newbie
*

Karma: 0
Offline Offline

Posts: 1


View Profile Email
« on: March 04, 2009, 04:25:23 AM »

TENTANG DIA…
Oleh: Nur Sharliza Ashaary
      
      
   Bilik Gerakan Akademi Pena Islami – A.P.I
Wan Huzairi Amli.

 
“…oleh itu, jadikanlah penulisan kita sebagai penyampai kepada ilmu dan agama Allah, bukannya alat untuk musuh menghancurkan Islam…”

Begitu dia mengakhirkan kata, majlis pun bersurai.

Usai pertemuan pertama ini, hatiku berasa aneh sekali. Segala motivasinya terngiang-ngiang terus di telinga dan qalbi. Memang, tiada siapa mampu menafikan, tiap tutur kalamnya benar-benar menusuk fuad. Namun, bukan kerana bicaranya aku diterpa keanehan sebegini. Bukan juga kerana wajah chinese look nya yang memikat hati. Bukan!

Sebentar tadi, tanpa sengaja aku terpandang cincin di kelingking kirinya. Ada sehelai benang emas terikat di situ.

Diamuk penasaran, aku sangat-sangat ingin tahu sekarang, siapa lelaki itu sebenarnya?

* * *
   
In Vitro Fertilization

Tujuh minit berlalu sedang aku masih melangut dengan mata kosong menancap dada skrin. Aduh! Tugasan baru A.P.I kali ini betul-betul mencabar. Sejak lima jam yang lalu, ditemani timbunan rujukan pelbagai sumber, hanya empat perenggan mampuku karang.

‘Doktor Robert Edwards merupakan orang pertama melakukan IVF (In Vitro Fertilization) atau teknik persenyawaan luar rahim ke atas manusia. Selepas 100 kali percubaan, akhirnya pada 25 Julai 1978, lahirlah Louise Brown sebagai bayi tabung uji pertama dalam sejarah dunia.

   Di Malaysia sudah ada beberapa kes kejayaan yang dilaporkan di HUKM dan di pusat-pusat perubatan swasta. Tetapi secara keseluruhan, kadar kejayaan masih tidak terlalu tinggi. Manakala kos untuk sekali rawatan di HUKM ialah antara RM7000 hingga RM8000. Tetapi di klinik-klinik dan pusat rawatan swasta, kos adalah lebih tinggi.

Dalam sesetengah kes, ada pasangan yang menggunakan ibu tumpang untuk mengandung dan melahirkan bayi tabung uji mereka. Namun, ciri-ciri genetik seorang bayi tabung uji ditentukan oleh benih ibubapanya, bukan ibu tumpang yang mengandung dan melahirkannya.

Apabila dinilai dari sudut pandangan Islam, para ulama ternyata punyai pendapat masing-masing dalam penentuan hukum bayi tabung uji dan ibu tumpang.’

Aku menghela nafas. Banyak benar khilaf ulama dalam penentuan hukum bayi tabung uji ini. Otakku sendiri hampir lunyai ‘dibelasah’ rujukan tiga bahasa – arab, inggeris dan melayu. Aduh!

“Perlu lebih ‘juhud’.” Ujar Wan Huzairi lewat motivasi pertamanya dalam A.P.I. “Jika kita menulis untuk Islam, bermakna kitalah antara penyambung mata rantai perjuangan ulama terdahulu. Imam Bukhari misalnya, telah bersungguh-sungguh mengumpul Sahih Bukhari selama 16 tahun. Kemudian, ianya telah disyarah oleh Ibnu Hajar al-Asqalani selama 26 tahun…”

Ya, aku perlu lebih juhud. Aku adalah mata rantai perjuangan Imam Bukhari, Ibnu Hajar al-Asqalani dan semua ulama silam. Aku akan siapkan artikel bayi tabung uji ini dengan semangat mereka!

Namun, baru saja kembali menghadap monitor, wajah Wan Huzairi tiba-tiba datang lagi bergentayangan di minda. Tanpa sedar, cincin di jari manis kiri kurenung.

Kata ma, cincin ini pemberian arwah atuk. Aku, Kiran dan adik, masing-masing diberi dua bentuk. Satu bersaiz kecil untuk dipakai ketika kanak-kanak. Satu lagi bersaiz besar untuk dipakai ketika dewasa. Kata ma lagi, arwah atuk membelinya ketika menunaikan haji. Ia berasal daripada sejenis kayu bernama Koka. Uniknya, tiap satu cincin itu, telah ma ikat dengan sehelai benang emas.

Buat kesekian kalinya mindaku diasak cacamarba persoalan. Kenapa Wan Huzairi Amli juga  memilikinya? Apakah ini hanya satu kebetulan?

* * *
Merenung meja study yang berserakan dengan kitab Fatawa Mu’asirah, Qadhaya Fiqhiyah Mu’asirah, al-Ummul Badilah (al-Rahmul Musta’jir), majalah al-Wa’yul Islami dan berbagai lagi rujukan, aku tersenyum puas. Benar-benar lega. Hampir seminggu bergadang, akhirnya terhasil kini sebuah artikel yang sempurna -‘Bayi Tabung Uji Menurut Perspektif Islam’.

Kemudian, mengambil posisi di hadapan skrin, aku mengulang baca artikel itu secara bebas.

‘…Fenomena ibu tumpang telah membawa kekeliruan dalam masyarakat. Mereka tertanya-tanya siapakah ibu bayi yang sebenar? Adakah wanita pemilik benih atau ibu tumpang yang melahirkannya?

Para ulama telah mengeluarkan berbagai pendapat berkaitan persoalan ini. Tetapi ada dua pendapat utama iaitu:

Pertama: Ibu sebenar ialah wanita pemilik benih. Maka bayi tersebut wajib dinasabkan padanya. Manakala ibu tumpang yang mengandung dan melahirkan, diiktibar sebagai ibu susuan yang tidak dinasabkan bayi padanya, tetapi hanya sekadar disabitkan hukum penyusuan. Pendapat ini dibina di atas asas bahawa apabila berlaku persenyawaan benih di antara suami isteri yang sah, maka anak tersebut dinasabkan kepada mereka. Manakala ibu tumpang diiktibar sebagai ibu susuan oleh hukum kerana dia memberi minum susunya dan memberi makan janin ketika masih dalam kandungan dari darahnya. Hujah ini disepakati oleh Doktor Muhammad Na’im Yasin, Doktor Abdul Hafiz Hilmi, Doktor Mustafa Zarqa’, Doktor Muhammad As-Surtowi dan lain-lain serta disokong oleh kebanyakan doktor perubatan.

Kedua: Ibu sebenar ialah yang mengandung dan melahirkan bayi. Manakala wanita pemilik benih diiktibar sebagai ibu susuan. Ini kerana nasab seorang anak bergantung kepada tiga perkara iaitu wanita yang melahirkannya, pengakuan suami dan pengakuan saksi. Hujah ini dikeluarkan oleh sebahagian besar ulama antaranya Sheikh Abdullah bin Zaid Ali Mahmud, Sheikh Muhammad Al-Khudri, Doktor Muhammad Yusuf Al-Muhammadi dan lain-lain.’

Sampai di situ, aku tidak mampu lagi menahan kantuk. Sebetulnya, dari tadi telah berkali-kali aku menguap. Lalu, menggerakkan cursor, aku terus memfokus muka surat terakhir.

‘Berdasarkan dalil-dalil yang telah dihurai, pro dan kontra, maka tidak syak lagi bahawa ibu yang sebenar ialah wanita pemilik benih dan disabitkan padanya hukum pewarisan harta, nafkah, hadhonah, dan sebagainya. Manakala ibu yang melahirkan diiktibar sebagai ibu susuan.’

   Selesai.
Tanpa berlengah, pantas ku shut down pc dan bergegas ke katil. Time’s up!

* * *
Bingung.
Sekejap tadi aku bertembung lagi dengannya di tangga rumah negeri. Kali ini entah ke mana ghaddul basor, tanpa silu mata ini memanah terus wajahnya. Lelaki agam tinggi itu rupanya  berambut lurus dan berkulit cerah. Kehairanan dia melihatku melongo dua tiga bentar menatapnya. Mujur aku cepat berkalih dan lekas-lekas menerkam tangga tingkat atas untuk ke bilikku. Langsung, dalam bilik, aku terus terjeda hingga kini.

Kondisiku seolah-olah bertemu kembali sesuatu yang pernah hilang… Seolah-olah antara kami ada satu pertalian.. Seolah-olah…ya, seolah-olah kami bersaudara!

Tapi…mustahil aku miliki seorang abang. Lagipun nenek sering menyitir peri sabarnya ma dan abah menempuh hidup tanpa zuriat sebelum kelahiranku. Sebelas tahun mereka menelan umpat keji cemuhan sekeliling hingga akhirnya Allah mengirimku dan mengizinkanku untuk lahir dari rahim ma sebagai ‘qurratul a’yun’ mereka berdua. Lebih menggembirakan, selepasku, lahir pula Shakiran dan adik Adlan. Barulah ‘senyap’ lidah-lidah busuk yang pernah memfitnah serta menuduh ma dan abah mandul sebelum ini.

Justeru, mana mungkin dia itu abang kandungku!

* * *

   Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…

   Ke haribaan ma, abah dan adik-adik yang amat dirindui, semoga Allah melimpahkan nikmat kesihatan dan rahmat yang berterusan serta meluaskan rezeki buat kalian. Moga-moga juga kalian sentiasa dikelilingi golongan salihin di mana jua berada, tanda kasih sayang Allah terhadap hamba-hambaNya. Amin.

Along di bumi anbiya’ ini alhamdulillah, sihat-sihat sahaja berkat doa ma dan abah yang tak pernah putus. Terima kasih ma, terima kasih abah. Sesungguhnya along, Kiran dan adik sungguh-sungguh beruntung punyai ma dan abah di dunia ini. Alhamdulillah..
                                 
Ma, abah, Kiran dan adik,
Baru-baru ini along ada bertemu dengan seorang ustaz. Dia merupakan motivator baru A.P.I.  Namanya Wan Huzairi Amli Wan Omar. Agak mengejutkan, di kelingking kirinya ada cincin yang sama, yang ada ikatan benang serupa seperti yang arwah atuk bagi pada along, Kiran dan adik. Betul-betul serupa.
Tapi.. itu kebetulan saja kan? Entahlah.. Along pun jadi keliru.

Untuk mencari maklumat mengenai dirinya, agak sukar. Lebih-lebih lagi dalam suasana di sini yang tidak menggalakkan percampuran antara mahasiswa dan mahasiswi. Along hanya tahu dia datang dari keluarga pengusaha restoran di Taiping dan punyai seorang adik yang masih menuntut di UDI Terengganu.

Terserempak beberapa kali dengannya memberikan along peluang mengamati wajah ustaz itu dari dekat. Orangnya berkulit cerah, kurus, tegap dan tinggi. Matanya separa sepet persis abah dan senyumnya lebar, manis seperti ma. Dia juga gemar sekali memakai kemeja maroon – warna kegemaran ma serta sangat berbakat dalam bidang penerbitan seperti abah. Seperkara lagi, ramai kawan-kawan mengatakan wajah along mirip wajahnya. Mungkinkah ini semua hanya satu kebetulan?

Ma, abah,
Along dan adik-adik tiada apa-apa kaitan dengan Wan Huzairi Amli kan?

   Rasanya setakat ini dahulu surat kali ini. Doakan along mampu menempuh summer bumi Egypt sekarang dengan semangat para alim ulama di sini. Sampaikan salam rindu along buat nenek, aki dan semua.

Along sangat merindui kalian.
Wassalam.


Sayang selalu di hati,
Along Ateeca

* * *

   Waalaikumussalam warahmatullah..
   Buat along Ika yang jauh di mata tapi sentiasa dekat di hati. Ma, abah dan adik-adik sihat selalu. Begitu juga nenek dan aki. Kami semua doakan agar along terus tabah serta bersemangat melalui musim panas di sana.

   Along,
   Along tahu kan, sebelas tahun ma dan abah hidup sunyi tanpa anak-anak sebelum kelahiran along. Sepanjang masa itu dah puas kami berikhtiar, namun, hasilnya tetap sama. Hinggalah seorang rakan abah memberitahu tentang kaedah bayi tabung uji.

   Dipendekkan cerita, kami bersetuju menggunakan kaedah ini demi mendapat anak. Benih ma dan abah telah disenyawakan terlebih dahulu dalam satu piring makmal sebelum dimasukkan ke dalam rahim. Tapi malangnya rahim ma tidak sesuai untuk perbesaran bayi lantaran telah beberapa kali mengalami keguguran. Sebagai penyelesaian, kami terpaksa menggunakan khidmat ‘ibu tumpang’. Waktu itu ma dan abah sangat gembira. Akhirnya kami akan mempunyai anak. Terasa berbaloi menjual tanah demi mambayar semua kos.

   Namun, kami telah dikhianati. Perjanjian yang telah ditandatangani, dilanggar begitu sahaja. Ibu tumpang tersebut – Saripah - yang juga adalah seorang kenalan ma, tiba-tiba mendakwa mengandung anak sendiri dan telah membawa lari Huzairi - ‘bayi tabung uji’ ma dan abah itu setelah genap 30 hari dia dilahirkan.

   Along bayangkan, betapa hancurnya hati kami. Hampir sebulan ma terlantar di hospital akibat terlalu menderita dan tertekan dengan apa yang berlaku. Saat itu kedudukan ekonomi abah sangat tenat. Hingga untuk membayar kos rawatan hospital pun, kami terpaksa bergolok bergadai. Apatah lagi syarikat akhbar tempat abah bekerja telah diisytiharkan muflis. Lantaran itu, niat untuk membawa Saripah ke muka pengadilan terpaksa dilupakan.

   Dua tahun kemudian, ma menerima sepucuk surat daripada Saripah. Dia meminta maaf atas perbuatannya dan berjanji akan menjaga Huzairi dengan baik. Dia rela membayar balik upah yang telah diberi sepanjang tempoh mengandungkan Huzairi asalkan ma dan abah tidak mengambil semula bayi itu. Selepas surat pertamanya, Saripah berterusan mengutusi ma memaklumkan perkembangan Huzairi. Kadang-kadang dalam setahun hanya sepucuk surat dikirim, kadang-kadang lebih. Yang pasti dia tidak pernah memberitahu alamatnya. Sekarang, dia tidak mengutusi ma lagi. Sudah hampir lapan tahun.

   Tidak lama selepas itu, Allah anugerahkan along buat ma dan abah. Menyusul pula Shakiran dan Adlan. Tiada lagi nikmat yang lebih besar. Pada keajaiban yang berlaku itu, ma dan abah benar-benar terharu dan bersyukur. Allah telah gantikan Huzairi dengan kalian. Pun begitu, ma dan abah sangat kesal kerana tidak mampu membesarkannya dengan tangan sendiri. Syukurlah, Saripah tidak membuang cincin-cincin pemberian arwah atuk kepada Huzairi. Natijahnya, sekarang ma dah jumpa balik anak ma yang ‘hilang’.

   Along, Wan Huzairi Amli adalah abang kandungmu, Kiran dan adik. Tunggulah sedikit masa lagi.  Ma dan abah akan pastikan kita berenam mampu untuk bersama semula sebagai satu keluarga.

   Salam peluk cium dari kami sekeluarga.

   Sayang selalu di hati
                Ma

* * *   
Surat dari kampung itu ditatapnya tanpa daya. Aku hanya diam membatu. Bila dia memandangku, mukanya telah pun dibasahi airmata.

“Ika..adik Ika..” Dia tidak mampu meneruskan kata. Airmatanya mengalir laju bagai hujan yang tidak pernah berhenti.

Sebetulnya emosiku telah lama terusik. Tudung yang dipakai, sejak tadi lagi ‘dimandikan’ airmata. Pasangan mutazawwijin yang mengizinkan kami bertemu di rumah mereka ini, hanya memerhati segalanya tanpa kata. Sungguh! Ruang dunia sekarang tiada rasa melainkan terharu dan gembira.

Kemudian, dia menghulur tangan. Antara rasa percaya dan tidak, gembira dan gementar aku menyambut tangannya dan menangis sepuas-puas hati.

“Abang…abang Huzairi.., selamat bertemu kembali..!”
   

















   


Logged
Pages: [1] Go Up Print 
« previous next »
Jump to:  

Powered by SMF 1.1.4 | SMF © 2006-2007, Simple Machines LLC Epsilon design by Bloc
Page created in 0.049 seconds with 20 queries.