User
Welcome, Guest. Please login or register.
March 11, 2010, 07:33:32 AM

Login with username, password and session length

Search
News
Ingin ke laman utama semula?
Klik ummuhani.com
UmmuHani.com Menu
RSS Laman Ini
0 Members and 1 Guest are viewing this topic. « previous next »
Pages: [1] Go Down Print
Author Topic: Sastera Islam dalam Kolum Penulisan Dakwa  (Read 1589 times)
ummuhani
Administrator
Newbie
*****

Karma: 0
Offline Offline

Posts: 6



View Profile Email
« on: March 04, 2008, 07:49:57 PM »

Penulis:
Nor Raudah Hj Siren
Ummu Hani Abu Hassan


“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan penggantian malam dan siang, adalah menjadi bukti bagi orang yang mempunyai sari fikiran.”

(Surah Ali-Imran 3: 190)

Pengenalan

Apakah manusia dilahirkan ke dunia dengan memintanya kepada Allah? Jelasnya, manusia bahkan makhluk-makhluk yang lain tidak pernah menduga untuk menjadi sebahagian daripada isi alam ini bahkan secara automatiknya mereka sudahpun bertugas sebagai hamba dan khalifah Allah.
   
Firman Allah Taala bermaksud:

“Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main sahaja, dan kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka Maha Tinggi Allah , Raja Yang Sebenarnya : tiada Tuhan yang berhak disembah  selain Dia, Tuhan Arasy yang mulia.”

(Surah al-Mukminuun:115-116)

Manusia. Hanya makhluk inilah yang dikurniakan oleh Allah dengan akal fikiran. Dengan kurniaan itu, jelaslah bahawa peranan manusia adalah lebih besar dan penting berbanding para makhluk yang lain. Ini telah dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran bermaksud:
“Dan Aku tidak akan menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku.”

(Surah Ad-Dzariyat: 56) 

Dalam kitab Fi Zilal al-Quran, Syed Qutb menerangkan bahawa matlamat hidup manusia yang lurus adalah berlangsung atas ketetapan matlamat yang ditentukan oleh Allah. Matlamat tersebut ialah menghambakan diri kepada Allah sebagai Tuhan dan Pencipta seluruh alam.

Untuk melaksanakan matlamat tersebut, Allah mengutuskan para nabi dan rasulNya sebagai penyampai risalah tauhid. Firman Allah Taala bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul  (dengan memerintahkan dia menyeru mereka) : Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah thagut. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi petunjuk hidayah oleh Allah dan ada yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu, mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat yang mendustakan rasul-rasulnya.”

(an-Nahl:36)

Allah menciptakan manusia dengan segala kelebihan terutama akal fikiran. Allah menetapkan matlamat hidup manusia di dunia dan akhirat. Allah mewahyukan risalah tauhid  melalui para rasul untuk dirujuki manusia sehingga kiamat. Dan tugas manusia adalah sebagai hamba dan khalifah Allah bukan selainnya.

Semua itu merupakan intipati dalam sastera Islam.

1.   Sastera Islam dalam Penulisan Dakwah

 Perbincangan tentang penulisan Islam muncul apabila tercetusnya polemik antara Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad yang membicarakan konsep “seni untuk masyarakat” yang menjadi motif perjuangan Asas 50 pada masa itu. Dorongan perbincangan tersebut berlaku seiring dengan gelombang Islamisasi yang berlaku di Negara ini yang dibawa oleh badan-badan dakwah seperti ABIM, Arqam, GAPIM, PAS, PERKIM dan orang perseorangan di era awal tahun 1970-an lagi (Ab Aziz Mohd Zin, 2006: 45- 46). Walau bagaimanapun perbincangan konsep penulisan Islam belum mantap dan belum mempunyai garis panduan yang jelas.

Kajian tentang penulisan Islam dalam konteks sastera banyak dibincangkan oleh para sarjana Islam yang boleh dijadikan dasar untuk penulisan dakwah antaranya ialah Mana Sikana dalam bukunya, Sastera Junjungan.  Kajian beliau menggunakan pendekatan kritikan Islam yang merujuk kepada fungsi sastera Islam ke arah pengukuhan akidah dan pembentukan akhlak Islam kerana menurut beliau, Islam telah menumbuhkan dan memperkayakan kesusasteraan Melayu (Mana Sikana 2005: 34).

Mana Sikana menekankan tentang keindahan Islam dan al-Quran sebagai teras dalam kesusasteraan Islam  dan menyarankan agar Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi Pusat pemgembangan Sastera Islam Sedunia (h. 38). Melalui buku tersebut juga, Mana Sikana menghurai beberapa teori yang berkaitan dengan penulisan Islam. Antara kandungannya, beliau merujuk pendapat Shahnon Ahmad (1977) yang membincangkan tentang konsep sastera Islam sebagai “sastera kerana Allah, berhikmah untuk manusia”. Kesannya perbincangan tentang penulisan Islam dibicarakan sehingga timbul saranan supaya pengarang menghasilkan karya berunsur Islam dan menilainya juga harus menggunakan ukuran Islam juga. Pada tahun 1986, teori berteraskan gagasan karya Islam diwujudkan dan dibincangkan (Mana Sikana, 2005: 43). Antara gagasan yang dilahirkan ialah Teori Sastera Pengabdian (1986) oleh Mana Sikana yang kemudian disebut sebagai Teori Taabudiyyah (1996), Teori Sastera Takmilah (2001) oleh Shafie Abu Bakar, dan Teori Pemikiran Islam (2002) oleh Mohd Yusof Hassan (Mana Sikana, 2005: 43 – 51).

  Sastera Islam seperti juga penulisan lain dalam kolum penulisan dakwah mestilah berukuran ibadah, akhlak dan jelas (ilmu). Gagasan ini dibawa oleh Shahnon Ahmad di atas konsep pokok ‘seni untuk Allah.’

2.Ciri dan peranan Penulisan Dakwah

   Dakwah  bermaksud menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Tugas dakwah adalah tanggungjawan setiap Muslimin untuk melaksanakannya. Ia malahnya bukan tugas yang mudah kerana memerlukan pemikiran, pendapat dan keyakinan yang ingin diubah agar menerima Islam sepenuhnya. Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud,

Kamu (Wahai Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah SWT…

   Perlaksanaan dakwah memerlukan strategi bagi memujuk khalayak dakwah (mad’u) berdasarkan keadaan dan situasi agar sasaran dapat menerima dakwah. Usaha ini selaras dengan tujuan untuk mencapai status Khayr Ummah dalam sesebuah masyarakat. Walau bagaimanapun usaha menyebarkan dakwah tidak tertakluk pada kaedah tertentu malah bergantung kepada keupayaan pendakwah sama ada melalui perbuatan, percakapan, penulisan dan lain-lain.
Penulisan Dakwah melibatkan hubungan antara manusia dengan Allah dan hubungan antara manusia dengan manusia. Hubungan komunikasi yang dijalinkan ini sekaligus menjurus ke arah mendapatkan keredhaan Allah sama ada dari segi penulis, pengisian karya atau kesannya kepada pembaca

 Penulisan dakwah merupakan aktiviti penyampaian maklumat tentang Islam dan mengajak manusia ke arah kebaikan serta memberi peringatan kepada manusia yang lalai. Bagi menjamin keberkesanan sesuatu mesej dakwah melalui penulisan dapat diterima oleh pembaca dengan baik, maka beberapa elemen perlu diutamakan. Elemen yang paling penting dalam penulisan dakwah ialah penulis, karya dan pembaca.

2.1 Penulis
 Penulis adalah pendakwah yang bertanggungjawab menyampaikan risalah tauhid kepada masyarakat. Allah berfirman dalam Surah al-Fusilat ayat 33 yang bermaksud, “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang salih dan berkata: sesunguhnya aku termasuk orang yang berserah diri.”
Menjadi penulis dalam genre sastera Islam umpama da’ie yang meneruskan perjuangan dakwah Rasulullah s.a.w. Misi dakwah adalah paling utama berbanding perkara yang lain. Bagi melancarkan dakwahnya, penulis perlu menganalisa asas-asas keberkesanan penulisannya iaitu mengetahui siapa dirinya (tanggungjawab, fokus, keupayaan, kekuatan dan kekurangan), menganalisis keadaan sekeliling termasuk manusia dan alam untuk dinukilkan ke dalam karya serta menghasilkan imaginasi yang dibenarkan syara’. Imaginasi perlu berlandaskan kebenaran, keadilan dan kebaikan untuk menghasilkan karya yang mampu memimpin manusia ke arah keimanan dan ketakwaan. Daya kreativiti yang berlandaskan wahyu akan menghasilkan karya yang mementingkan pendidikan dan pembentukan akhlak yang baik.

Selain itu, penulis sastera Islam digesa memenuhi etika penulisan Islam yang bertunjangkan niat melakukan aktiviti penulisan sebagai mencari keredaan Allah, memahami matlamat penciptaannya sebagai manusia dengan memulakan penulisannya dengan memuji Allah SWT, mantap keilmuan Islamnya terutama memahami tafsir al-Quran dan hadis serta mantap pengetahuannya tentang rukun Iman dan rukun Islamnya, menjadikan al-Quran dan hadis sebagai pegangan dalam penulisannya, memahami bahawa tugas penulisannya merupakan fardu kifayah, memahami dan berusaha melaksanakan akhlak Islam dalam kehidupannya, dan menegakkan amal makruf dan mencegah amar mungkar dalam karyanya.

Secara umumnya, ciri-ciri penulis sastera Islam adalah seperti berikut:
1.   Keperibadian yang unggul (taqwa, ilmu, ikhlas)
2.   Kreatif
3.   Amanah/ beramal


2.2. Karya

   Kandungan mesej yang disampaikan kepada masyarakat adalah perkara pokok dalam penulisan dakwah. Justeru, sastera Islam tidak boleh lari daripada membincangkan perkara Tauhid yang menjadi subjek dakwah Rasulullah s.a.w.
   Selain itu, Islam bersikap tegas menyampaikan kebenaran. Firman Allah Taala bermaksud “Berkatalah benar sekalipun ia pahit.” Jelasnya, penulis tidak boleh melakukan sebarang penyorokan atau penyelewengan berkaitan Islam.
Ahmad Kamal Abdullah (1994) mengatakan penulisan Islam perlu membawa respon pada isu semasa dan kontemporari yang menyangkut masalah pembelaan terhadap ketidakadilan, bersifat mengajak kembali kepada ajaran Islam, menilai kembali iltizam pemeluk Islam terhadap tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan ibadahnya, dan menyebarluaskan keindahan atau estetika yang melambangkan ciri-ciri ketuhanan yang bersifat al-jamal, al-Kamal dan al-Jalal (indah, sempurna dan perkasa).
Tema karya dipilih berdasarkan kesesuaian keadaan sasaran. Sebagai contoh, kandungan al-Quran mengandungi pelbagai tema untuk disampaikan kepada manusia iaitu orang-orang Islam atau musyrikin serta disampaikan dengan pelbagai kaedah merujuk suasana dan sasaran sama ada cara biasa, perbahasan, perbandingan, cerita atau lain-lain.

TEMA KARYA
1.   BENAR (Akidah, syariah dan akhlak)
2.   MENDIDIK DAN MEMBERI ILMU KEPADA MASYARAKAT
3.   SEMASA (politik, kebudayaan, kesenian, kesusasteraan, globalisasi, komunikasi, perpaduan, sains dan teknologi, kesihatan, pendidikan, dan ketenteraan dan lain-lain)

ASAS PENYAMPAIAN KARYA
1.   HIKMAH
2.   NASIHAT
3.   PERBAHASAN YANG BAIK

Kesimpulannya, karya dihasilkan untuk  memberi pendedahan kepada masyarakat agar mempunyai kekuatan spiritual, intelektual, dan material, serta mampu berdikari dan berdaya saing, melihat ke hadapan, inovatif serta cekap menangani cabaran-cabaran semasa secara bijaksana, rasional, praktikal dan damai.

2.3 Pembaca

   Keberkesanan dakwah amat berkait-rapat dengan sasaran. Justeru, dalam penulisan sastera Islam, pembaca adalah sasaran yang menentukan hala tuju mesej dakwah. Oleh itu, Allah s.w.t menekankan aspek penyampaian dakwah yang berhikmah, lemah-lembut dan sesuai dengan keadaan sasaran agar ia mendatangkan kesan yang baik kepada mereka.
   Keadaan pembaca yang terdiri daripada pelbagai golongan merupakan cabaran kepada penulis sastera Islam. Misalnya, sasaran di Malaysia terdiri daripada masyarakat Islam (Islam sejak lahir dan mualaf) dan sasaran bukan Islam (percayakan Tuhan dan tidak percayakan tuhan). Oleh itu, kesesuaian mesej dengan sasaran perlu diambil perhatian iaitu dari aspek kesesuaian dengan anutan agama dan pegangan hidup sasaran, kesesuaian dengan peringkat sasaran dan kesesuaian masalah dengan penyakit sasaran.
Oleh itu, matlamat terakhir penulisan dakwah ialah  bertujuan membentuk dan membangun pembaca dari aspek, minda, fizikal dan rohani. Ini kerana penulisan dakwah tidak seperti penulisan biasa yang mempunyai peranan yang amat mencabar serta bertanggungjawab membentuk masyarakat yang cinta dan mendapatkan keredaan Allah atau menjalin hubungan ikhlas dengan Allah (hablum  min Allah). Halangan yang berlaku akan dapat diatasi jika penulis mampu memanipulasi karyanya dengan baik dan berkesan.


KESIMPULAN

Peranan manusia sebagai khalifah bukan sekadar melafaz syahadah dan menunaikan rukun Islam kerana ia juga merangkumi jihad dalam menjelmakan lunas-lunas ketauhidan dalam amalan-amalan kehidupan seharian. Pendekatan ajaran Islam secara lebih progresif dan universal perlu diusahakan bersama dengan memahami serta mendalami falsafah Islam, nilai-nilai Islam, pandangan umum, kewujudan perasaan ingin menimba ilmu secara kreatif dari sumber lain dan bergerak melalui interaksi dengan tamadun lain. Umat Islam pula perlu berusaha membuka minda dan bersedia berperanan menjadi khalifah Allah yang sebenar dengan bekalan ilmu pengetahuan yang cukup untuk membebaskan manusia dari pelbagai gejala sosial yang kini merendahkan martabat manusia sebagai manusia.
Hazami Jahari (2004) merumuskan pandangan para sarjana yang menanggapi ciri-ciri karya Islam iaitu menyampaikan kebenaran hakiki, memberangsangkan orang berbuat baik, menimbulkan kecintaan kepada Allah, berkasih sayang sesama makhluk, tidak menimbulkan kekejian dan kemungkaran, memiliki keindahan, memiliki  kebaikan, imaginasi yang terkawal, bahasa jelas dan mudah difahami dan teknik penceritaan yang terkawal dan tidak berlebihan.
   Secara keseluruhannnya, penulisan dakwah khususnya sastera Islam bertujuan untuk membangun akidah, ibadat, akhlak dan kemahiran hidup yang berlandaskan syariah Islam. Oleh itu, aspek pengisian dalam karya penulisan adalah amat dititikberatkan agar mampu membina pembangunan kemanusiaan sama ada dari aspek mental, rohani dan sahsiah umat Islam.

Firman Allah Taala bermaksud:
”Dan Kami tidak mengutuskan kamu (Hai Muhammad) melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakannya manusia tidak mengetahui.”

(Surah Saba: 28)

RUJUKAN

1.   Dr. Ab. Aziz Mohd Zin, Al-Quran dan Mesej Kesejahteraan Sejagat, Jakim, Kuala Lumpur, 1997.
2.   Dr. Danial Zainal Abidin, Bahan Berdakwah Untuk Remaja Moden, PTS, Pahang, 2002
3.   Kassim Ahmad dan Shahnon Ahmad, Polemik Sastera Islam, DBP, Kuala Lumpur, 1987.
4.   Muhammad Ahmad ar-Rasyid, Fitnah Dalam Kehidupan Pendakwah, Penerbitan Teras Bakti, Kuala Lumpur, 2000.




Logged
ucupkun
Newbie
*

Karma: 0
Offline Offline

Posts: 1


View Profile Email
« Reply #1 on: January 02, 2009, 04:34:03 PM »

Salam..saya nak..tapi tak penah sekolah agama..n takut wat salah... Cry
Logged
Pages: [1] Go Up Print 
« previous next »
Jump to:  

Powered by SMF 1.1.4 | SMF © 2006-2007, Simple Machines LLC Epsilon design by Bloc
Page created in 0.092 seconds with 20 queries.