User
Welcome, Guest. Please login or register.
September 10, 2010, 01:12:25 PM

Login with username, password and session length

Search
News
Sila daftar untuk memudahkan urusan berkaitan
laman.
UmmuHani.com Menu
RSS Laman Ini
0 Members and 1 Guest are viewing this topic. « previous next »
Pages: [1] Go Down Print
Author Topic: HAMKA  (Read 2626 times)
ummuhani
Administrator
Newbie
*****

Karma: 0
Offline Offline

Posts: 6



View Profile Email
« on: March 18, 2008, 06:02:28 PM »

(Sambungan)

3. Keluarga Peneguh Hidup

Seorang tokoh akan lahir daripada lingkungan keluarga yang harmoni dan berkah. Pengajaran hidup yang dialami daripada tauladan para anbiya’ dan auliya’ menjadi intipati kehidupan peribadi Hamka bersama keluarga. Beliau mempunyai 11 orang anak bersama isterinya, Siti Raham.

Pada tahun 1941, dalam keadaan pergolakan dalaman masyarakat dan pemerintah tempatan, muncul gerila penjajah Jepun dan keributan penjajah Belanda. Ketika inilah, kehidupan mereka sekeluarga semasa musim perang menjadi sukar. Selain risiko bom dari tentera Jepun, keluarga Hamka dan masyarakat tempatan berhadapan dengan masalah kekurangan makanan, tempat tinggal dan lain-lain. Ketika inilah, peranan isteri Hamka menenangkan keluarganya sangat kuat. H. Rusydi, anak pasangan ini menceritakan dalam bukunya  bahawa ibunya telah banyak membantu perjuangan bapanya dengan sifat tenang dan berhemah. Siti Rahmah telah mengasuh anak-anak dengan kesederhanaan dan memahamkan kepada anak-anak tentang tugas perjuangan bapa mereka.

Di musim perang, anak-anak Hamka hanya disuapkan ubi kayu sebagai makanan Malahnya, ada di antara anak ini yang hampir meninggal dunia kerana kekurangan zat. Kegigihan Siti Raham menyimpan wang ketika waktu senang mampu mempertahankan keluarganya menghadapi musim perang.

Siti Raham, wanita Minang yang sederhana. Rupanya tidak secantik gadis Indonesia bangsawan tetapi mempunyai budi pekerti yang luhur dan seorang yang rendah hati. Beliau tidak banyak bercakap berbanding suaminya Hamka seorang pemidato hebat. Jika Hamka banyak menghasilkan karya sastera, isterinya mempunyai kelebihan menjaga rumahtangga dengan baik. Beliau sangat menjaga makanan suami dan anak-anaknya malah wanita ini seorang yang sangat mentaati agama.

Selama 43 tahun Siti Raham menjadi pendamping Hamka sebagai isteri, teman dan ibu kepada anak-anak mereka. Selama Hamka menjadi penggiat gerakan Muhammadiyah, rutinnya padat dengan tugas-tugas dakwah ke seluruh Indonesia. Justeru, masanya tidak betah di rumah dan tugasnya dimainkan oleh sang isteri.

Pada tahun 1959, ketika di bawah pemerintahan Sukarno, Hamka dikecam oleh rejim pemerintah akibat saranan dan lantangannya terhadap dasar-dasar nasional yang bertentangan dengan agama. Oleh itu, beliau telah diberi pilihan sama ada kekal menjadi pegawai pemerintah dengan sikap patuh atau sebaliknya. Dengan saranan isterinya, Hamka memilih untuk menjadi pendakwah yang bebas dan tidak terikat dengan dasar-dasar politik rejim Sukarno. Saat kehilangan kerja yang banyak menampung keperluan hidup keluarganya, Hamka menjadi seorang yang tabah akibat kematangan yang ditunjukkan oleh isterinya. 


Menurut H. Rusydi, ibu mereka seorang yang tegas terutama jika berkait dengan kehormatan suaminya, Hamka. Semampunya, dia berusaha meletakkan martabat suaminya sebagai seorang yang mulia di tengah masyarakat. Dia juga sangat meraikan para tetamu suaminya dan tidak akan membiarkan mereka pulang sebelum menjamah makanan.  Pada tahun 1964, Hamka telah ditahan atas tuduhan mengadakan cubaan pembunuhan ke atas Sukarno. Ketika di dalam tahanan, kesihatan Hamka terjejas dan dimasukkan ke hospital. Sepanjang tempoh itu, Siti Raham melarang anak-anaknya untuk membicarakan khabar buruk yang boleh merunsingkan hati suaminya.

Setelah Hamka dibebaskan, kehidupan mereka sekeluarga semakin baik dan dihormati di seluruh Nusantara. Namun, pada Januari 1971, Siti Raham meninggal dunia akibat penyakit darah tinggi. Kehilangannya menjadi titik tolak kesedihan Hamka akibat ketaatan, kejujuran dan keteguhan isterinya sepanjang mereka berumah-tangga. Hamka kemudiannya berkahwin dengan Siti Khadijah pada tahun 1973.

Selama lapan tahun menjadi suami Siti Khadijah, keuzuran Hamka menanggung penyakit buasir dan diabetis mencapai kemuncak apabila beliau menyahut panggilan Ilahi pada hari Jumaat , 17 Julai 1981. Kata Siti Khadijah, isteri keduanya : “Hamka orang luar biasa. Selama lapan tahun aku merawatnya, tidak pernah sedikitpun berasa kesulitan. Di saat dia sudah tiada aku pun belum berasa kehilangannya.â€
Jelaslah bahawa kegemilangan Hamka sebagai seorang ulama di nusantara ditunjangi keluarga terutama isteri-isterinya. Selain dua isterinya, Siti Raham dan Siti Khadijah, Hamka mempunyai 11 orang anak iaitu Hisyam, Zaky, Rusydi, Fakhri, Azizah, Irfan, Aliyah, Fathiyah, Hilimi, Afif dan Syakib. 

4. Proses Kepengarangan Buya Hamka Pada Dekad Proklamasi

Hamka melalui beberapa zaman yang menyaksikan penentangan dan perubahan masyarakat kepada orde baharu antaranya zaman epistimologi Islam daripada tradisionalis kepada salafi, zaman pendudukan Jepun, period kedua penjajahan Belanda, zaman pemerintahan Sukarno dan dasar komunisnya. Yang terakhir adalah era pemerintahan rejim Suharto. Setiap era ditempuhi dengan kemandirian beliau sebagai seorang pembaca zaman. Bahkan, pengalaman serta pemikirannya yang terbentuk dek keseluruhan era yang dilalui ini telah terserap pada karya-karya beliau.

Untuk memahami proses kepengarangan Hamka, masyarakat perlu mengkaji latar dan period yang menapaki pemikirannya pada waktu itu. Misalnya, pertentangan di antara Kaum Tua dengan Kaum Muda yang berlaku pada awal abad ke 20 di Minangkabau telah mewujudkan persepsi serius Hamka terhadap ilmu agama. Sejak mula terlibat dengan gerakan Muhammadiyah, Hamka telah mula mengasah bakat penulisannya melalui siri pertama penulisannya dalam buku Khatibul Ummah sebanyak 3 jilid (1925-1927) . Buku ini menghimpunkan wacana-wacana Ilmiah Hamka berkaitan pengamalan umat Islam yang berpandukan kepada al-Quran dan Sunnah. Juga himpunan kritikan beliau terhadap budaya taqlid dan bid’ah yang berleluasa di kalangan masyarakat Islam khususnya di Kepulauan Melayu. Pada tahun 1927, kerana mahu memperdalamkan pengetahuan dalam bidang agama, penulisan dan percetakan, Hamka merantau ke Mekah selama enam bulan.

Dekad 1930- 1940 an adalah musim-musim penjajahan Belanda dan Jepun ke atas Indonesia. Kala itu juga, wujud pertentangan di antara golongan pemerintah dengan kaum ulama. Malahnya, rakyat Indonesia khususnya di daerah seperti Aceh menaruh harapan lebih tinggi kepada para ulama berbanding pemerintah  dalam usaha memperbaiki kehidupan masyarakat Islam. Keadaan rakyat marhaen yang melarat berbanding kehidupan pemerintah dan pembesar tempatan yang mewah telah menghilangkan kepercayaan rakyat kepada kepimpinan negara.

Pada waktu itu juga, Hamka sebagai salah seorang ketua Gerakan Muhammadiyah telah memperluaskan pengaruhnya di Aceh. Pada tahun 1941, gerakan Muhammadiyah yang telah diterima oleh pemerintah Aceh menjadi semacam alat mereka untuk memperkukuhkan kekuatan. Pada masa yang sama juga, rakyat telah bekerjasama dengan golongan ulama untuk menubuhkan Pusa (Persatuan Ulama Seluruh Aceh). Hamka sebagai orang tengah yang melangsungkan hubungan baik dengan para pemerintah kerana peranan besarnya dalam Muhammadiyah berasa ralat apabila rakyat yang diwakili Pusa menunjukkan rasa kurang senang terhadap hubungan baik tersebut. Suasana ini dirakamkan Hamka dalam autibiografinya bertajuk Kenang-Kenangan Hidup 111 (1951).

Umum mengetahui bahawa Hamka juga menulis buku-buku sastera seperti novel dan cerita-cerita pendek. Dalam koleksinya, Hamka menulis lebih 20 buah novel yang bertemakan ritro rakyat merangkumi kekeluargaan, adat, percintaan, kehidupan desa dan bandar, peperangan, krisis sosial dan lain-lain. Sesuatu yang meransang beliau berkarya adalah nurani desanya yang mengalir seperti darah dalam tubuh seorang Hamka. Kepantasan Hamka meneroka persekitaran dengan sudut pandang kreatif memberi kelebihan kepada bangsanya, kerana Hamka mengutamakan budaya dan bahasa Melayu sebagai nadi proses kreatifnya. Ini boleh dihayati dalam semua novel beliau antaranya Di Bawah Lindungan Kaabah (1936), Kapal Van De Wijck (1937), Tuan Direktur (1939)  Ayahku (1950) dan lain-lain.

   Misalnya, novel Di Bawah Lindungan Kaabah telah mengungkap persoalan darjat yang berlaku dalam masyarakat Melayu di Indonesia pada tahun 1920 an hingga tahun 1930 an. Hamka sebagai watak yang hidup dalam situasi sebenar menjelaskan kepada masyarakat bahawa persoalan darjat adalah serpihan daripada perbincangan agama. Beliau menggarapkan pengalaman merantau ke Mekah pada tahun 1926 yang menemukan beliau dengan seorang pemuda Indonesia. Penceritaan teknik imbas kembali membawa pembaca memahami keadaan masyarakat marhaen yang terikat dengan budi golongan atasan. Cinta dua darjat yang berlaku antara Zainab dengan Hamid begitu berseni dan halus. Hamka telah cuba mengangkat diri Hamid sebagai seorang pemuda miskin tetapi kaya dengan kesungguhan dan adab. Ketika dirinya berasa cinta kepada gadis tuannya, perasaan itu tidak tercerna pada kelakuan. Sebaliknya, sebagai pemuda Melayu, Hamid berasa rendah diri dan malu untuk meluahkan cinta kepada gadis dari golongan bangsawan. Perbuatan cuba meraih perhatian Zainab dianggap tidak beretika dan jauh dari budaya bangsa. Daripada pemikiran inilah kita memahami budaya asal Melayu  yang sangat menjaga hubungan lelaki dengan perempuan.

Tahun 1930 an hingga 1940-an adalah tahun-tahun suara kebangkitan Islam bergema melalui penulisan terutama dalam majalah-majalah tempatan.  Tokoh ilmuan Islam seperti Hamka menjadikan majalah-majalah ini sebagai suara memerangi kuasa penjajahan yang telah mencabar keagungan akidah Islam. Misalnya, ketika Perayaan Ulangtahun Kelahiran Maharaja Jepun, Tencho Setsu, semua rakyat tempatan termasuk Muslim diperintahkan supaya sembahyang dengan mengadap ke arah Timur Laut, iaitu ke istana raja. Perintah ini menyebabkan masyarakat Islam tersinggung dan berasa cemas.
Hamka bersama temannya H Abdul Rahman Syihab telah berjumpa pembesar Jepun bagi menegaskan prinsip Islam. Peristiwa ini telah dicoretkan Hamka dalam bukunya Kenang-Kenangan Hidup 111.

   Sebagai tokoh falsafah juga, Hamka adalah pemerhati zaman dan masyarakatnya. Kesan pengajaran tersebut menjadi tiang falsafah kepadanya bagi mengkritik, mencontohi dan menggagaskan maksud perilaku kepada masyarakat. Dalam buku Peribadi (1950), Hamka menghuraikan tingkah-laku manusia yang menjadi pedoman kemanusiaan mereka. Beliau telah menghimpunkan 11 ciri pada peribadi yang mulia iaitu
1) Daya penarik  2) Cerdik  3) Timbang rasa 4) berani 5) Bijaksana 6) Berpandangan baik 7) Menyesuaikan diri Cool bantuk badan 9) Bijak 10) Percaya kepada diri sendiri 11) tenang. Semua ciri ini dirujukkan kepada al-Quran, hadis, kata-kata hikmah ulama dan bidalan hidup manusia yang terhormat. Beliau turut memetik kata-kata penyair Iqbal:

“Umur bukan ukuran tahun
Akal bukan ukuran tubuh
Sehari hidup singa di rimba
Seratus tahun bagi si dombaâ€

Hamka juga mengkritik sikap masyarakat yang tidak membangunkan bangsanya dengan perangai-perangai negatif antaranya yang dilabelkan Hamka, orang yang menjadi bayang-bayang orang lain. Orang sebegini hanya gemar meniru dan tidak mandiri dengan peribadi sendiri. Malah kata Hamka, empat mazhab di dalam Islam, iaitu Maliki, Syafie, Abu Hanifah dan Hambali berhubungan sebagai guru dan murid tetapi masing-masing mempunyai peribadi yang tersendiri. 

   Sikap taklid buta sangat dibenci agama. Arahan inilah yang menggagaskan Hamka untuk berjuang membebaskan masyarakat Melayu daripada dipengaruhi fahaman agama secara membuta-tuli. Perjuangan bapanya menyerang Kaum Tua pada awal kurun  ke-20 memperlihatkan usaha meninggikan martabat Islam sebagai agama yang kritis, berkembang dan universal. Beliau juga menentang sikap orang yang hanya mencedok pembacaan tetapi tidak ada daya untuk berfikir dan menafsir. Hamka menggelarkan manusia seperti itu sebagai ‘budak kitab.’ Sikap meminta yang menjadi kelaziman sesetengah masyarakat akan merugikan bangsa kerana sikap itu melumpuhkan daya usaha. Orang yang selesa bergantung hidup kepada orang lain tidak akan ke mana-mana. Malahnya, dia menjadi lekeh dan hina di pandangan masyarakat.

Melalui pengalaman dan renungan Buya Hamka, beliau telah melahirkan pengetahuannya dalam penulisan yang akan dihayati setiap generasi ummat. Peranannya sebagai ulama amat jelas apabila beliau berjaya menghasilkan Tafsir Al-Azhar sebanyak 30 jilid pada tahun 1978 ketika dipenjarakan bawah pemerintahan rejim Sukarno.

KESIMPULAN

   Hamka adalah ulama nusantara yang telah berjaya mengangkat medium penulisan dakwah baik genre kreatif mahupun ilmiah. Pengaruhnya amat besar di kalangan masyarakat pada kurun ke 20 dan 21. Kini, lebih 20 tahun beliau meninggal dunia, jasa dan peninggalannya masih menjadi panduan masyarakat. Tidak hairanlah beliau telah meninggalkan banyak karya kerana motif penulisannya adalah cinta kepada Allah. Jelas Hamka dalam catatannya:

   â€œCinta tertinggi adalah kepada Dia Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang iaitu Allah SWT. Pandanglah Islam dengan penuh cinta. Dengan begitu anda akan berbalas-balas cinta dengan Dia Pemberi Cinta. Cinta sejati adalah tatkala anda memasuki gerbang maut dan bertemu dia: almautu ayatu bi sadiq .

Pulanglah Hamka sebagai seorang tokoh dakwah yang tidak akan lupus kehormatannya!

















RUJUKAN
1.   H. Rusydi Hamka (2002), Hamka Pujangga Islam Kebanggaan Rumpun Melayu, Menatap Peribadi dan Martabatnya, Selangor: Pustakan Dini.
2.   Hamka (2002), Di Bawah Lindungan Kaabah, Selangor: Pustaka Dini
3.   Hamka (2007), Peribadi, Selangor: Pustaka Dini
4.   Hamka (1951), Kenang-Kenangan Hidup 111, Jakarta: Gapura.
5.   Fatmawati (1978), Catatan Kecil Bersama Bung Karno, Indonesia: Jakarta

Logged
baugelam
Newbie
*

Karma: 0
Offline Offline

Posts: 1


View Profile Email
« Reply #1 on: July 25, 2009, 02:52:48 PM »

salam-smiley   terima kasih atas kisah ini  Grin
Logged
naurah musyahidah
Newbie
*

Karma: 0
Offline Offline

Posts: 4


View Profile Email
« Reply #2 on: December 29, 2009, 09:54:01 PM »

Salam setahu saya Hamka berguru dengan Pak Natsir atau M. Natsir. Seorang yang amat berpengaruh dlam dakwah. Pak Natsir pernah ditawarkan untuk membuat PHD tetapi beliau tolak. Kenapa dan mengapa saya tidak tahu. Dan Hamka amat menyanjungi Pak Natsir. Sebelum ni pernah dibuat seminar tentang tokoh ni di U. M.  Cuba tanya pelajar UM APIUM yang baru fresh graduate. okay, harap memuaskan hati ummu. Wassalam
-naurah musyahidah-
Logged
Pages: [1] Go Up Print 
« previous next »
Jump to:  

Powered by SMF 1.1.4 | SMF © 2006-2007, Simple Machines LLC Epsilon design by Bloc
Page created in 0.355 seconds with 20 queries.